Sunday, August 18, 2013

Kerajaan Sabah Berjaya Lindungi Ekosistem Marin

Usaha memerangi aktiviti bom ikan memerlukan penglibatan semua pihak termasuk anggota masyarakat demi memastikan khazanah alam yang ada tidak terus terjejas atau dirosakkan, khususnya terumbu karang yang menjadi habitat hidupan marin. Semporna misalnya banyak bergantung kepada sumber-sumber alam marinnya untuk menjana dana kepada daerah ini. Jesteru, sebarang kaedah pengeksploitasian sumber marin yang menyalahi undang-undang perlu dihentikan serta-merta bagi memastikan khazanah alam dapat dimanfaatkan secara terus-menerus untuk generasi akan datang.

Aktiviti bom ikan adalah satu ancaman yang perlu ditangani segera kerana kegiatan itu yang sudah wujud semenjak bermulanya era Perang Dunia Kedua memberikan kesan buruk kepada penurunan bilangan populasi hidupan marin seperti ikan di Semporna. Situasi ini bukan sahaja boleh mendatangkan kerugian kepada para nelayan, malah turut menjejaskan industri pelancongan di daerah itu yang banyak bergantung kepada sumber-sumber marin. Jesteru, pelbagai langkah telah diambil oleh kerajaan bagi menangani masalah itu antaranya termasuklah melalui penguatkuasaan undang-undang, mewartakan lebih banyak pulau sebagai taman marin serta penganjuran kempen-kempen kesedaran.

Sepanjang tahun lepas, Pasukan Polis Marin (PPM) berjaya mengesan 11 kes mengebom ikan yang disiasat mengikut Akta Bahan Letupan dan 10 kes lagi di bawah Seksyen 26 (1) (c) Akta Perikanan 1985 iaitu memiliki ikan yang ditangkap menggunakan bom. Namun setakat Julai tahun ini, tidak ada kes seumpama itu berlaku terutamanya di perairan pantai timur Sabah. Perkembangan ini jelas menunjukkan bahawa pihak berkuasa berjaya menangani masalah ini selepas melaksanakan pelbagai inisiatif yang mana turut melibatkan komitmen dikalangan orang awam, aktivis dan NGO. 

Malah, pelancaran Ops Daulat pada Februari lepas bagi mengesan dan memberkas pengganas dari Selatan Filipina yang menceroboh pantai Timur Sabah (kini dikenali sebagai Ops Sanggah), turut menyumbang kepada penurunan kes pengeboman ikan kerana pada waktu itu kawalan perairan sungguh ketat dimana pelbagai agensi keselamatan dilihat berkawal di sepanjang perairan pantai timur Sabah. Perkembangan positif ini bukan sahaja membawa berita baik kepada warga nelayan dan pengusaha industri pelancongan, malah yang paling penting sekali, sumber marin negeri ini akan terus terpelihara untuk manfaat generasi akan datang.

0 comments:

Post a Comment