Sunday, August 25, 2013

Penduduk Borneo Perlu Lindungi Beruang Madu

 
SANDAKAN 31 Julai - Melindungi habitat bagi hidupan liar yang tergolong sebagai antara haiwan paling ikonik di dunia serta membantu perjalanan pusat perlindungan haiwan terancam, bukan menjadi tanggungjawab kerajaan, pertubuhan bukan kerajaan dan penyelidik semata-mata, tetapi juga orang ramai.

Pengasas dan Ketua Pegawai Eksekutif Pusat Pemuliharaan Beruang Madu Borneo (BSBCC), Wong Siew Te berkata, oleh kerana manusia dan hidupan liar menjadi sebahagian daripada ekosistem, maka penduduk setempat juga perlu bersedia menghulurkan bantuan untuk menyelamatkan spesies terancam.

Merujuk kepada acara 'Big Dreams, Little Bears' yang diadakan di sini baru-baru ini, Wong berkata melalui kerjasama dengan sukarelawan tempatan, BSBCC berjaya mengumpul sumbangan RM443,000, hampir seperempat daripada anggaran RM2 juta yang diperlukannya pada tahun ini untuk menyiapkan pembinaan kandang kedua untuk Beruang Madu, penyediaan kawasan hutan tambahan dan sebagai kos operasi harian pusat berkenaan.

"Saya harap penduduk Sandakan menganggap pusat ini sebagai milik mereka juga kerana hasil penglibatan mereka secara langsung atau tidak langsung, membolehkan pusat ini wujud seperti yang ada sekarang dan akan terus maju pada masa akan datang.

"Apabila dibuka kepada orang ramai menjelang awal tahun depan, pusat ini akan menjadi satu lagi daya tarikan eko dan alam semula jadi bagi membolehkan Sandakan memainkan peranannya di peringkat sejagat dalam mempromosi usaha pemuliharaan. Ia juga akan meningkatkan kesedaran semua pihak tentang nasib hidupan liar serta merancakkan pertumbuhan ekonomi tempatan melalui usaha niaga berkaitan pelancongan dan limpahan manfaaat daripadanya.

"Kami harap dapat terus menggalakkan masyarakat tempatan, terutama peniaga, untul menyumbang ke arah pemuliharaan Beruang Madu. Mereka boleh menjadi tenaga penggerak dalam membentuk pendapat orang ramai berhubung spesies itu dan usaha pemuliharaanya," kata Siew Te dalam kenyataan di sini hari ini.

Beliau berkata, penduduk tempatan sepatutnya berbangga kerana pusat itu terletak di kawasan mereka dan menambah bahawa acara mengumpul derma itu memberi kesedaran kepada banyak pihak apabila ia diberi liputan meluas oleh media, termasuk dalam program bual bicara melalui NTV7 dan temu bual melalui radio.

Siew Te mengucapkan terima kasih kepada sukarelawan dan anggota jawatankuasa acara kutipan derma itu kerana sanggup berkorban masa dan tenaga kerana sayangkan Beruang Madu.

"Kami dapati penduduk Sandakan dan kawasan lain di Sabah menyokong usaha ini apabila mereka sanggup membeli tiket bagi acara berkenaan. Ada yang berebut-rebut menyaingi satu sama lain untuk membeli tiga foto Beruang Madu yang dilelong," katanya.

BSBCC melaksanakan usaha pemuliharaan haian berkenaan melalui pendekatan holistik yang melibatkan usaha kebajikan, pemulihan, penyelidikan dan pendidikan hingga menjadikannya satu-satunya pusat pemuliharaan Beruang Madu sepertinya di dunia.

Pusat itu ditubuhkan pada 2008 hasil kerjasama antara Jabatan Hidupan Liar Sabah, Jabatan Perhutanan Sabah dan pertubuhan bukan kerajaan Land Empowerment Animals People (LEAP). Kini, pusat itu menempatkan 28 Beruang Madu yang diselamatkan daripada hutan dan kedai jualan haiwan.

Terletak bersebelahan Pusat Pemulihan Orang Utan Sepilok, pusat berkenaan memberi penjagaan kepada Beruang Madu yang kehilangan ibu bapa dan diselamatkan daripada kurungan, sebelum dilepaskan kembali ke hutan, manakala yang tidak mampu menjalani kehidupan secara liar pula, disediakan persekitaran lebih baik untuk mereka habiskan sisa usia.

Kehilangan habitat, diburu untuk memenuhi permintaan dalam perniagaan perubatan tradisional dan untuk dijadikan haiwan peliharaan merupakan antara punca utama jumlah beruang madu merosot sekurang-kurangnya 30 peratus sejak tiga dekad lepas.

Pengerusi acara kutipan derma itu Anton Ngui berkata Beruang Madu adalah antara warisan semula jadi Sabah yang terkenal di seluruh dunia.

"Kita patut berbangga dengan Beruang Madu kita, seperti rakyat China berbangga dengan panda mereka dan rakyat Australia dengan Beruang Koala mereka. - BERNAMA

0 comments:

Post a Comment